BUGIBBA, 12 Disember - Seramai 60 migran berjaya dibawa ke Malta pada Jumaat selepas bot dinaiki mereka terbalik berhampiran pulau Mediterranean itu, menjadikannya antara kumpulan terbesar tiba dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kumpulan berkenaan diselamatkan oleh bot Angkatan Bersenjata Malta sebelum dibawa mendarat di Bugibba, kira-kira 10 batu dari Valletta.
Menurut saksi, beberapa ambulans dan anggota polis berada di lokasi kejadian. Para migran kelihatan berselimut bagi menahan kesejukan, sementara beberapa orang diusung menggunakan pengusung. Pegawai penyelamat memaklumkan seorang daripada mereka berada dalam keadaan kesihatan yang lemah.
Ketibaan migran menggunakan bot kecil ke Malta kini semakin jarang berlaku, dengan hanya lebih 200 tiba pada 2024 berbanding lebih 2,000 pada 2020. Kebanyakan mereka berlepas dari Libya menuju ke Itali.-REUTERS