fb fb fb fb fb

Ribut Boris badai tengah Eropah, 18 maut

Foto yang diambil pada 16 September 2024 ini menunjukkan kerosakan kereta berikutan banjir di Ladek-Zdroj, selatan Poland/ AFP

VIENNA, 17 September- Banjir akibat ribut Boris di bahagian tengah Eropah menyebabkan beberapa empangan pecah, bekalan elektrik terputus dan sekurang-kurangnya 18 orang maut.

Menurut pihak berkuasa tempatan, lebih ramai penduduk sedang dipindahkan.

Angin kencang dan hujan sangat lebat menjejas banyak kawasan di Austria, Republik Czech, Hungary, Poland, Romania dan Slovakia sejak Jumaat lalu.

Hujan lebat menyebabkan kawasan perumahan di beberapa tempat tenggelam, selain terputusnya pengangkutan awam dan bekalan elektrik.

Menurut perangkaan terbaharu, ribut itu telah menyebabkan tujuh orang maut di Romania, empat di Poland, empat di Austria dan tiga di Republik Czech.

Sementara itu, sebilangan individu masih dilaporkan hilang.

Pakar percaya perubahan iklim yang berpunca daripada pengeluaran gas rumah hijau hasil kegiatan manusia menyebabkan cuaca ekstrem seperti hujan yang turun berterusan mengakibatkan banjir semakin teruk dan kerap berlaku.

Ia juga telah menyebabkan puluhan empangan pecah dengan air sungai yang berlumpur semakin deras.

Ribuan isi rumah turut terputus bekalan elektrik dan air di Austria.

Di bahagian utara Eropah di Jerman timur, tembok-tembok perlindungan daripada banjir telah dipasang pada Isnin, untuk melindungi bandar lama Dresden ketika paras sungai Elbe meningkat, di mana tahap tertinggi dijangkakan pertengahan minggu ini.

Canselor Jerman, Olaf Scholz berkata negaranya "amat tersentuh" dengan imej-imej dramatik dan berita mengenai banjir di negara-negara jiran Jerman.

Republik Czech dan Poland juga telah melaporkan kematian, pemindahan dan kemusnahan besar di kawasan yang paling teruk dilanda bencana itu.

Polis Czech berkata tiga orang telah terbunuh akibat ribut itu dan lapan masih hilang.

Di bandar Krnov timur Czech, penduduk mula mengangkut serpihan.

"Semua turapan musnah, semuanya tumbang di sini, semuanya rosak di sekitar kedai... ia adalah mimpi ngeri," kata Eliska Cokreska, seorang pesara berusia 76 tahun kepada AFP.

Polis Poland mengemas kini angka kematian akibat bencana itu kepada empat - meningkat daripada satu sebelum ini - sambil menambah bahawa punca sebenar kematian masih perlu dijelaskan.

Air juga telah menenggelamkan bandar Glucholazy di sempadan Poland-Czech dengan ramai penduduk berlindung di sebuah sekolah.

Angka kematian akibat banjir di Romania - di mana orang ramai naik ke atas bumbung untuk melarikan diri telah meningkat kepada tujuh, menurut penyelamat.

"Berbanding dengan 2013, jumlah air hampir tiga kali lebih besar. Sukar untuk menangani 'kemarahan' alam seperti itu," kata Perdana Menteri Marcel Ciolacu kepada pemberita pada Isnin.

Hungary telah mengerahkan lebih 350 anggota penyelamat untuk mengukuhkan halangan banjir ketika Danube dan air sungai di sepanjang lembangannya dijangka meningkat.-AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI