BUENOS AIRES, 3 Oktober-Ribuan rakyat Argentina menyertai bantahan besar-besaran di ibu negara membantah tindakan Presiden, Javier Milei yang bertindak memotong peruntukan dana percuma untuk pendidikan universiti.
Protes turut diadakan di beberapa bandar lain di seluruh Argentina.
Orang ramai dilihat berhimpun di sebuah dataran besar di luar Kongres di Buenos Aires sambil memegang sepanduk yang tertulis: “Tanpa pendidikan untuk rakyat, tiada keamanan untuk kerajaan” dan “Bagaimana kita boleh mempunyai kebebasan tanpa pendidikan?”
Protes kali ini tertumpu kepada undang-undang baharu yang memastikan peningkatan dana tetap kepada universiti dan kenaikan gaji untuk para pensyarah serta kakitangan bagi membantu mereka menghadapi inflasi yang tinggi sebanyak 236 peratus pada bulan Ogos.
Presiden Argentina, Javier Milei berkata beliau akan menolak undang-undang tersebut, seperti yang telah dilakukannya terhadap undang-undang lain.
Beliau menyifatkan kenaikan gaji untuk pensyarah sebagai “tidak wajar” dan menganggap ahli-ahli penggubal undang-undang sebagai “tidak bertanggungjawab dalam kewangan.”
Namun, kuasa vetonya boleh disekat oleh majoriti dua pertiga di Kongres, disebabkan partinya merupakan parti minoriti.
Salah seorang penunjuk perasaan, Ana Hoqui 30 tahun, lulusan psikologi, berkata beliau hadir untuk menyatakan sokongan terhadap universiti yang membantunya menjadi pelajar perubatan.
“Ibu bapa saya banyak berkorban supaya saya dapat belajar di Universiti Buenos Aires.
"Saya tidak akan mampu belajar tanpa dana universiti awam yang percuma,” katanya kepada AFP.
“Itulah sebabnya saya hadir dan menyertai protes untuk mempertahankan sistem berkenaan, kerana saya merasakan ia berada dalam bahaya.”
Milei yang dilantik sebagai Presiden Argentina Disember lalu berjanji untuk mengurangkan perbelanjaan awam secara drastik untuk mengekang lonjakan inflasi dan menghapuskan defisit.
Meskipun kadar inflasi telah menurun, pemotongan perbelanjaan oleh Milei menyebabkan peratusan kemiskinan rakyat meningkat, menjejaskan lebih separuh daripada populasi dalam tempoh enam bulan pertama pemerintahannya.
Terdahulu, pada April lepas, rakyat Argentina mengadakan protes buat kali pertama selepas kerajaan membekukan dana universiti tahun ini pada tahap yang sama seperti tahun 2023, walaupun inflasi masih tinggi.
Kerajaan kemudian meningkatkan peruntukan untuk hospital universiti dan infrastruktur.-AFP