ANTWERP, 21 Julai β Ribuan kereta, van, lori dan traktor dilaporkan tersadai di Pelabuhan Antwerp-Bruges, susulan penurunan eksport ke Amerika Syarikat (AS) selepas tarif baharu diumumkan Presiden Donald Trump.
Data pelabuhan menunjukkan penghantaran kenderaan baharu ke AS susut 15.9 peratus bagi separuh pertama 2025.
Syarikat pembawa kenderaan, International Car Operators (ICO), mencatat penurunan 15 peratus berbanding tahun lalu akibat tarif AS, menurut Pengarah Urusannya, Alain Guillemyn, pada Jumaat.
Terminal "roll-on/roll-off" ICO di pelabuhan Belgium itu kini beroperasi pada 80 hingga 85 peratus kapasiti.
βIni agak tinggi. Ia berpunca daripada ketidaktentuan tarif AS, isu geopolitik lain dan kejatuhan permintaan global,β kata Guillemyn.
Presiden Trump sebelum ini mengancam menaikkan tarif ke atas barangan EU kepada 30 peratus mulai 1 Ogos, meningkatkan tekanan kepada blok itu untuk mencapai perjanjian perdagangan.
Brussels dan wakil industri automotif Eropah dilapor berunding selama beberapa bulan bagi memujuk Washington menurunkan kadar tarif 27.5 peratus ke atas import kereta Eropah.
Sebelum pentadbiran Trump, tarif AS hanya 2.5 peratus ke atas kereta Eropah, manakala EU mengenakan cukai 10 peratus ke atas kenderaan buatan AS. -REUTERS