PLAYAS, 21 Julai – Sekurang-kurangnya 10 maut dan dua lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat snuker di sini, malam tadi.
Menurut media tempatan, penyerang tidak dikenali itu dipercayai mencari seorang lelaki, namun bertindak melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai.
Seorang waris yang enggan dikenali merayu pihak berkuasa menyegerakan siasatan.
"Kalau diteliti, semua yang maut ialah golongan profesional muda dan remaja.
Ini kejadian paling teruk, dahulu di Manta lima atau enam orang terbunuh, di sini sepuluh orang," katanya.
Susulan insiden itu, pihak berkuasa Playas mengisytiharkan darurat.
Operasi keselamatan dilancar dengan pasukan tentera memeriksa penduduk, termasuk tatu yang sering dikaitkan dengan kumpulan jenayah terancang (GDO).
"Kami periksa tatu dan telefon bimbit. Ramai ahli kumpulan GDO mempunyai tatu berkenaan.
Kami juga dapat maklumat penting melalui WhatsApp, Messenger, Instagram dan TikTok," kata seorang anggota tentera Ecuador.
Kementerian Dalam Negeri Ecuador melaporkan lebih 4,000 kes bunuh direkodkan dalam lima bulan pertama tahun ini.
Media tempatan menyifatkan 2024 sebagai tahun paling ganas dalam sejarah moden Ecuador dengan kadar bunuh meningkat daripada 5.8 bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018 kepada 38.7 tahun ini.