MEXICO CITY, 21 Julai -Seorang daripada penjenayah paling dikehendaki di Ecuador, Jose Adolfo Macias atau dikenali sebagai “Fito”, telah diekstradisi ke Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik laporan media kedua-dua negara.
“Warganegara Adolfo Macias alias 'Fito' dibawa keluar dari Pusat Tahanan La Roca di bawah kawalan Polis Kebangsaan dan Angkatan Tentera bagi tujuan proses ekstradisi,” lapor media Ecuador memetik kenyataan pihak berkuasa penjara negara itu, SNAI, pada Ahad.
“SNAI mengesahkan bahawa pemindahan itu dilakukan mengikut ketetapan pihak berkuasa yang berwibawa.”
Macias, ketua kumpulan jenayah berpengaruh Los Choneros, telah melarikan diri dari penjara keselamatan maksimum La Roca pada Januari 2024 ketika sedang menjalani hukuman penjara 34 tahun atas kesalahan termasuk pembunuhan dan pengedaran dadah. Beliau berjaya diberkas semula pada akhir Jun.
Kehilangannya mencetuskan gelombang keganasan di seluruh negara. Presiden Ecuador Daniel Noboa bertindak mengisytiharkan konflik bersenjata dalaman serta mengklasifikasikan 22 kumpulan jenayah termasuk Los Choneros sebagai organisasi pengganas.
Noboa berkata penangkapan semula Macias adalah hasil undang-undang baharu yang diluluskan awal Jun lalu, yang memberikan kuasa luas kepada ketua negara serta mewujudkan kerangka perundangan bagi kerja risikan dan antirisikan.
Bagaimanapun, pertubuhan hak asasi Human Rights Watch menyatakan bahawa undang-undang berkenaan “mengandungi peruntukan berbahaya yang mengancam hak rakyat Ecuador.”
Ecuador kini berdepan krisis keselamatan apabila kumpulan dadah berpengaruh mula bertapak di negara yang dahulunya aman.
Kuantiti besar kokain diseludup melalui pelabuhan di pesisir Lautan Pasifik, terutamanya ke Eropah dan Asia. Noboa turut mengisytiharkan darurat dan mengerahkan angkatan tentera untuk membanteras kumpulan jenayah tersebut. - BERNAMA