fb fb fb fb fb

Ribuan keluarga pelarian di Baidoa, Somalia hidup serba kekurangan

Foto REUTERS

BAIDOA, 9 Julai – Ribuan keluarga yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka akibat konflik bersenjata dan perubahan iklim kini bergelut untuk meneruskan hidup di kem-kem pelarian tidak rasmi yang sesak dan daif di Baidoa, Somalia.

Tempat perlindungan sementara yang dibina daripada plastik dan kepingan besi hanya mampu memberikan perlindungan minimum dari cuaca panas dan hujan lebat.

Salah seorang pelarian, Naimo Mohamud, dilihat sedang membersihkan runtuhan di luar tempat perlindungannya sambil menyuarakan keperluan mendesak mereka.

“Inilah kem DC Lima, kami tiada makanan, tiada air. Kami perlukan plastik untuk tempat tinggal, peralatan dapur, dan bantuan asas.” kata beliau.

Kelihatan wanita dan kanak-kanak berkeliaran di antara struktur yang rapuh di kem tersebut sambil menunggu bantuan yang mungkin tidak akan tiba.

Di sebuah pusat kesihatan berhampiran, Farhiya Abdi Ali turut meluahkan kebimbangan. Beliau berkata bantuan makanan telah dihentikan, dan kini anak-anaknya terpaksa melupakan pendidikan asas dan juga pembelajaran agama.

“Kami lapar,” katanya. “Kami tidak mampu membayar yuran sekolah, hatta yuran madrasah.”

Ketua Pegawai Eksekutif Save the Children UK, Moazzam Malik yang kini berada di Baidoa memberi amaran bahawa keadaan di Somalia tersebut didorong oleh perubahan iklim, di mana sebahagian besar berpunca daripada pelepasan karbon oleh negara-negara maju serta kitaran keganasan yang berulang. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN