fb fb fb fb fb

Penglibatan positif Hamas-Israel dalam rundingan gencatan senjata Gaza

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed bin Mohammed Al Ansari. Foto REUTERS

DOHA, 9 Julai -Penglibatan Hamas-Israel dalam rundingan gencatan senjata di Gaza ketika ini positif, demikian menurut jurucakap Kementerian Luar Qatar, Majed bin Mohammed Al Ansari.

Menurut beliau, walaupun rundingan secara rasmi belum bermula, namun perbincangan secara berasingan dengan kedua-dua pihak itu di Doha menunjukkan perkembangan baik. Hamas-Israel berharap Qatar dapat mewujudkan rangka kerja penting dalam memastikan perbincangan itu berjaya.

"Ketika ini kedua-dua delegasi berada di Doha. Kami berbincang secara berasingan mengenai rangka kerja untuk rundingan. Jadi, perbincangan belum bermula setakat ini, tetapi kami sedang berbincang dengan kedua-dua pihak mengenai rangka kerja itu, dan berharap dapat mewujudkan rangka kerja yang akan menjadi sangat penting untuk perbincangan itu berjaya," kata Al Ansari.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Qatar menentang sebarang rancangan untuk memindahkan secara paksa rakyat Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong hak sah rakyat Palestin.

"Kami telah menyatakan dengan jelas bahawa kami menentang sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin atau mana-mana pemindahan penduduk Palestin di luar tanah mereka. Kami sentiasa mengatakan bahawa rakyat Palestin mempunyai hak, seperti mana-mana rakyat lain di dunia, untuk wujud di mana tanah mereka berada seperti yang dinyatakan oleh undang-undang antarabangsa, norma antarabangsa," katanya.

Pusingan baharu rundingan tidak langsung antara Hamas dan Israel disambung semula pada Ahad di Doha di tengah-tengah usaha antarabangsa untuk menamatkan konflik yang telah memusnahkan Gaza selama lebih 20 bulan. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI