fb fb fb fb fb

Kanak-kanak antara 20 terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza

Serangan pertama mengenai sebuah khemah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan di Khan Yunis, selatan Gaza.

GAZA CITY, 9 Julai -Sekurang-kurangnya 20 lagi warga Palestin, termasuk enam kanak-kanak terkorban dalam dua serangan udara Israel sepanjang malam di wilayah Gaza.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal berkata, serangan pertama mengenai sebuah khemah yang menempatkan penduduk yang dipindahkan di Khan Yunis, di selatan Gaza, serangan kedua pula berlaku di sebuah kem pelarian di utara.

Menurut Bassal, serangan pertama mengorbankan 10 ahli keluarga yang berlindung di kawasan Al-Mawasi, Khan Yunis. Serangan kedua di Kem Al-Shati berhampiran bandar Gaza pula menyebabkan lebih 30 orang cedera, dengan mangsa terdiri daripada dua keluarga.

“Letupan itu sangat kuat, seperti gempa bumi,” kata warga Gaza, Zuhair Judeh, 40, yang menyaksikan serangan di Al-Shati.

“Ia memusnahkan rumah itu serta beberapa rumah berhampiran. Mayat dan cebisan tubuh mangsa bertaburan. Kejadian ini adalah sesuatu "pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan," katanya lagi.

Sementara itu, Abeer al-Sharbasi, 36, turut menggambarkan detik serangan itu sebagai "menakutkan" dan berkata ia berlaku ketika beliau dan keluarganya sedang tidur di khemah berdekatan.

“Kita tidak tahu bila atau kenapa mereka mengebom. Kita hanya mampu berserah kepada Tuhan,” katanya.

Dalam serangan itu, beberapa orang dilaporkan masih hilang dan dipercayai terperangkap di bawah runtuhan. - AFP

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI