fb fb fb fb fb

Jerman mahu perjanjian tarif EU-AS adil

Naib Canselor dan Menteri Kewangan Jerman,Lars Klingbeil, pada sesi belanjawan di Bundestag, Berlin -Foto REUTERS

BERLIN, 9 Julai -Jerman menggesa Amerika Syarikat (AS) supaya mencapai perjanjian tarif yang adil dengan Kesatuan Eropah (EU), atau mengambil risiko tindak balas daripada blok itu untuk melindungi kepentingannya.

Naib Canselor dan Menteri Kewangan Jerman, Lars Klingbeil, menegaskan bahawa sebarang perjanjian mesti memenuhi kepentingan bersama.

"Tarif tambahan dikenakan AS menjejaskan sektor pekerjaan di kedua-dua belah pihak, yang berbahaya kepada semua orang dan mesti diselesaikan secepat mungkin," katanya semasa membentangkan belanjawan fiskal di Parlimen pada Selasa.

Beliau turut menyeru agar negara anggota EU kekal bersatu dengan menyatakan bahawa perpaduan adalah kunci untuk menghadapi cabaran global secara berkesan.

Sebelum ini, Canselor Jerman, Friedrich Merz, menegaskan bahawa kerajaan Jerman bersedia mengambil pendekatan yang lebih tegas terhadap AS, sekiranya perjanjian tidak dicapai.

Katanya, Berlin akan mengambil langkah balas demi mempertahankan kepentingan negara, pertikaian perdagangan yang berlarutan hanya akan mendatangkan kerugian kepada kedua-dua belah pihak.

Walaupun keputusan rundingan tarif antara EU dan AS masih belum diumumkan, proses rundingan menunjukkan bahawa kedua-dua pihak mempunyai perbezaan yang jelas.

Sebagai ekonomi berorientasikan eksport, Jerman berharap dapat mempercepatkan rundingan dan mencapai persetujuan dalam bidang seperti automotif, pembuatan jentera dan bahan kimia secepat mungkin. Jika tidak, rundingan yang berpanjangan akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI