SEOUL, 9 Julai – Kerajaan Korea Selatan pada Rabu telah memulangkan enam rakyat Korea Utara yang sebelum ini diselamatkan di laut dan menyatakan hasrat untuk kembali ke negara asal mereka, menurut Kementerian Penyatuan Korea Selatan.
Empat daripada mereka ditemui pada bulan Mei lalu oleh pihak berkuasa Korea Selatan di Laut Timur, juga dikenali sebagai Laut Jepun di mana bot kayu yang dinaiki hanyut ke selatan sempadan maritim tidak rasmi antara kedua-dua negara.
Awal Mac lalu, tentera Korea Selatan turut menemui dua lagi rakyat Korea Utara di dalam sebuah bot kayu di Laut Kuning sebelah barat.
“Kerajaan Korea Selatan telah memulangkan enam penduduk Korea Utara hari ini melalui Laut Timur,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Dengan persetujuan penuh semua individu yang terlibat, kesemua enam orang telah dihantar pulang bersama-sama.”
Mereka dipercayai merentasi sempadan secara tidak sengaja dan menyatakan hasrat untuk kembali ke Korea Utara. Namun, proses pemulangan tertangguh kerana Pyongyang telah memutuskan hubungan dengan Seoul dan mengisytiharkan Korea Selatan sebagai negara musuh serta tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap usaha komunikasi oleh Seoul.
Menurut kementerian itu, proses pemulangan tersebut dilaksanakan selaras dengan pendirian kemanusiaan kerajaan Korea Selatan. -REUTERS