fb fb fb fb fb

Rempuhan stadium el Salvador: "Semua pihak akan disiasat" - Bukele

(Mayat mangsa ditutup dengan bendera Alianza susulan rempuhan semasa perlawanan bola sepak antara
pasukan 
Alianza dan FAS di Stadium Cuscatlan, El Salvador/AFP)

SAN SALVADOR, 21 Mei- Semua pihak tidak akan terlepas untuk disiasat berhubung insiden rempuhan di Stadium Cuscatlan dekat sini yang mengorbankan 12 peminat bola sepak dan 500 lagi cedera dengan 100 daripadanya parah dalam kejadian pada Sabtu, menurut Presiden El Salvador, Nayib Bukele.

Bukele berkata, Polis Awam Negara (PNC) dan Pejabat Peguam Negara akan menyiasat kejadian itu dan mereka yang bertanggungjawab akan dihukum.

“Semua orang akan disiasat, tidak kira pasukan, pengurus, pihak stadium, liga dan persekutuan,” kata Bukele menerusi Twitter.

Bukele turut memberi amaran bahawa siapa pun yang bersalah tidak akan terlepas daripada hukuman setimpal.

Dalam pada itu, Persekutuan Bola Sepak Salvador (Fesfut) berkata, pihaknya sangat menyesali kejadian yang berlaku di stadium dan menyatakan solidaritinya dengan keluarga mangsa.

"Fesfut akan segera meminta laporan tentang apa yang berlaku dan akan menyampaikan maklumat berkaitan secepat mungkin," menurut kenyataan.

Laporan awal menunjukkan rempuhan berkenaan bermula selepas pintu stadium tumbang akibat diasak penyokong yang datang untuk menonton perlawanan bola sepak antara pasukan Alianza dan FAS.

Perlawanan itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan. -AFP

(Nayib Bukele/AFP)

 

Artikel berkaitan:
Sembilan maut rempuhan di stadium El Salvador

Media Baharu