fb fb fb fb fb

Remaja UK rai hak mengundi, tekankan kepentingan pendidikan politik

Foto REUTERS

LONDON, 18 Julai – Golongan remaja berusia 16 dan 17 tahun di United Kingdom menyambut baik hak baharu mereka untuk mengundi dalam semua pilihan raya, tetapi menegaskan pendidikan politik yang menyeluruh amat penting bagi meningkatkan penyertaan dan menangani maklumat palsu di media sosial.

“Saya sangat gembira kerana sebelum ini saya hanya mampu melihat politik tanpa dapat berbuat apa-apa,” kata Mathew Caronno, 16 tahun, yang juga seorang pelajar. Jelas beliau, dasar kerajaan banyak memberi kesan secara langsung kepada golongan muda.

Perubahan tersebut merupakan sebahagian daripada pembaharuan besar sistem demokrasi negara itu, di mana menurut kerajaan bertujuan memulihkan kepercayaan awam terhadap demokrasi serta menyelaraskan hak mengundi di seluruh Britain.

Sebelum ini, remaja dalam lingkungan usia itu hanya dibenarkan mengundi dalam pilihan raya devolusi di Scotland dan Wales.

“Ada ramai remaja sejak usia muda lagi sudah mempunyai pandangan yang kukuh dan mereka percaya suara mereka perlu didengari,” ujar Ana Fonseca, pelajar berusia 16 tahun.

Dianggarkan terdapat 1.6 juta remaja berusia 16 dan 17 tahun di UK.

Pada pilihan raya umum lalu, lebih 48 juta pengundi layak mengundi namun kadar penyertaan mencatat paras terendah sejak 2001. Pilihan raya umum seterusnya dijangka berlangsung pada tahun 2029. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN