HRABOVE, 18 Julai – Sekumpulan kecil penduduk tempatan berkumpul pada Khamis di Hrabove, wilayah Donetsk, bagi memperingati ulang tahun ke-11 tragedi penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh pada tahun 2014 yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal.
Majlis tersebut diadakan secara sederhana bagi memperingati mangsa, termasuk kanak-kanak dalam konflik bersenjata yang masih berlarutan di timur Ukraine.
Seorang saksi kejadian, Archpriest Sergiy mengimbau detik tragedi itu apabila beliau melihat pesawat terbakar di udara.
Pada awalnya, beliau menyangka ia sebuah pesawat kargo, namun sebaik tiba di lokasi nahas, barulah beliau menyedari bahawa ia adalah penerbangan awam.
"Kami tiba hampir serta-merta. Kenapa kami terus masuk ke dalam kereta? Mungkin kerana ada yang perlukan bantuan. Itu naluri pertama kami. Tetapi apabila kami sampai, tiada siapa yang dapat diselamatkan," katanya dengan nada sebak.
Sementara itu, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) yang berpangkalan di Strasbourg, minggu lalu memutuskan secara sebulat suara bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden MH17 dan mendapati kerajaan Moscow telah melanggar hak asasi manusia secara sistematik di Ukraine.
Keputusan tersebut melibatkan empat kes yang digabungkan, termasuk nahas MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Julai 2014, sebelum ditembak jatuh ketika pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemisah pro-Rusia.
Rusia sehingga kini menafikan penglibatannya dan menolak kehadiran tenteranya di wilayah Ukraine pada tahun 2014. -REUTERS