SAO PAULO, 23 Mei - Gara-gara telefon bimbitnya dirampas seorang remaja berusia 16 tahun tergamak menembak ibu bapa dan kakaknya di rumah kediaman mereka, kata polis.
Kementerian keselamatan tempatan berkata, kejadian berlaku pada Jumaat lalu hanya diketahui pada Isnin selepas lelaki itu menghubungi pihak polis dan mengaku melakukan pembunuhan.
Ketua siasatan Roberto Afonso berkata remaja yang diambil sebagai anak angkat itu tidak berpuas hati selepas ibu bapanya mengambil telefon miliknya selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Remaja itu memberitahu pegawai penyiasat bahawa dia merampas senjata api milik ayahnya yang juga merupakan seorang anggota polis berusia 57 tahun lalu menembaknya dari arah belakang.
Kemudian dia naik ke tingkat atas dan menembak kakaknya berusia 16 tahun di muka.
Apabila ibunya tiba di rumah beberapa jam kemudian, dia membunuh ibunya yang berusia 50 dengan senjata yang sama.
"Kita perlu faham jika ini adalah ketidakpuasan hati atau kekecewaan yang berkaitan dengan gangguan psikologi," kata Afonso kepada Brazil TV Record.
Polis juga sedang menyiasat sama ada orang lain terlibat dalam insiden tersebut termasuk dengan siapa remaja itu bercakap di telefon.
Difahamkan remaja itu juga tinggal bersama tiga mayat ahli keluarganya bermula Jumaat hingga awal pagi Isnin.
Pada masa sama, dia sempat untuk pergi ke gimnasium dan membuat pembelian di kedai roti.
Menurut Alfonso, remaja itu seolah-olah masih 'marah' dan menikam mayat ibunya dengan pisau pada Sabtu.
Remaja terbabit kini ditahan di pusat tahanan juvana.
Memandangkan defendan masih lagi remaja yang dilindungi undang-undang khas di Brazil dan dia tidak boleh dibicarakan sebagai orang dewasa. - AFP