fb fb fb fb fb

Ratusan ribu kanak-kanak Palestin kekurangan zat akan disaring

Seorang kanak-kanak Palestin yang kekurangan zat makanan, Jana Ayad menerima rawatan di hospital medan Kor Perubatan Antarabangsa, di tengah-tengah konflik Israel-Hamas, di Deir Al-Balah di selatan Semenanjung Gaza/ REUTERS

DEIR AL-BALAH, 25 Jun- Pegawai perubatan di Gaza serang berusaha meningkatkan saringan ke atas kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut susulan kebimbangan kelaparan meningkat ketika ramai melarikan diri ke kawasan baharu.

Pegawai perubatan kumpulan bantuan Kor Perubatan Antarabangsa (IMC), Munawwar Said, berkata kumpulan itu dan rakan kongsinya bercadang membuat saringan ke atas lebih 200,000 kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan kempen 'Cari dan Rawat' dalam tempoh beberapa bulan lagi.

"Orang ramai menetap di lokasi baharu yang tidak mempunyai akses kepada air bersih atau makanan yang mencukupi susulan pengusiran. Kami bimbang terdapat lebih banyak kes yang terlepas pandang," katanya kepada Reuters.

Beberapa keluarga mula mengunjungi klinik IMC di pusat bandar Deir al-Balah, pada hujung minggu, selepas agensi terbabit mengumumkan penutupan dua pusat di Rafah susulan ancaman keselamatan.

Sementara itu, Pegawai Pemakanan Raghda, Ibrahim Qeshta, berkata kanak-kanak, Jana Ayad dengan berat sembilan kilogram mengalami cirit-birit dan muntah ketika tiba di pusat berkenaan.

Katanya, berat Jana, 5, mula bertambah sejurus menjalani rawatan tetapi dia masih lagi kelihatan sangat kurus.

Kakitangan kesihatan berupaya menilai tahap pemakanan dengan mengukur lilitan lengan kanak-kanak.

Agensi bantuan kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menjangkakan kira-kira tujuh peratus daripada kanak-kanak di Gaza mungkin mengalami kekurangan gizi akut, berbanding 0.8 peratus sebelum konflik Israel-Hamas bermula pada 7 Oktober lalu.

Sehingga kini, kekurangan pemakanan teruk yang terburuk berlaku di bahagian utara dengan laporan disokong PBB yang memberi amaran mengenai kemungkinan kebuluran pada Mac lalu.

Bagaimanapun pekerja bantuan bimbang ia boleh merebak ke kawasan tengah dan selatan akibat pergolakan di sekitar Rafah yang menyebabkan lebih sejuta orang kehilangan tempat tinggal dan mengekang aliran bekalan melalui koridor selatan.

Lebih 37,600 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Israel memulakan operasi selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, membunuh 1,200 orang dan menjadikan kira-kira 250 tebusan, menurut kiraan Israel.- REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI