fb fb fb fb fb

Ratusan rakyat Liberia berarak bantah kerajaan Boakai

Ratusan rakyat Liberia berarak di jalan raya bagi membantah dakwaan rasuah dalam pentadbiran Presiden Joseph Boakai serta kemerosotan amalan demokrasi di negara itu/ Foto AFP

MONROVIA, 18 Julai – Ratusan rakyat Liberia turun ke jalan raya pada Khamis bagi membantah dakwaan rasuah dalam pentadbiran Presiden Joseph Boakai serta kemerosotan amalan demokrasi di negara Afrika Barat itu, lapor wartawan AFP.

Dalam keadaan hujan lebat, para penunjuk perasaan berarak menuju ke Capitol Hill dan institusi kerajaan lain sambil melaungkan slogan “Enough is enough” serta membawa sepanduk mengecam kepimpinan Boakai.

Boakai yang mula memegang jawatan pada awal 2024 untuk tempoh enam tahun, dituduh oleh pengkritik sebagai gagal mengurus ekonomi negara yang daif, membiarkan rasuah berleluasa serta tidak menunaikan janji untuk menaikkan gaji penjawat awam.

Bagaimanapun, penyokong kerajaan mempertahankan pentadbiran Boakai, menyatakan bahawa beberapa pegawai kanan telah digantung tugas atas tuduhan rasuah dan hubungan pelaburan telah diperkukuh.

Penunjuk perasaan turut mendakwa Presiden Boakai tidak menunaikan janji yang dibuat ketika berkempen menentang bekas Presiden dan legenda bola sepak, George Weah.

Seorang penjawat awam, Bendu Camara, 55, berkata beliau dipaksa bersara selepas Boakai memegang kuasa dan mendakwa kerajaan hanya mengutamakan ahli Parti Unity dalam pengagihan jawatan.

“Beliau masuk ke istana presiden dan kami serahkan bendera negara untuk semua rakyat Liberia, tetapi kini beliau memilih kasih. Seolah-olah hanya ahli partinya sahaja pemilik negara ini,” katanya.

Seorang lagi penunjuk perasaan, Hawa Kpehe, 22, turut menyuarakan rasa kecewa.

“Boakai berjanji untuk membantu rakyat, tetapi kini kami terpaksa merempat mencari rezeki sendiri. Beliau menipu rakyat Liberia,” katanya, yang bekerja sebagai penjual tembikar.

Liberia, antara negara termiskin di dunia, sedang berusaha membina semula negara selepas dilanda wabak Ebola pada 2014 dan dua peperangan saudara yang mengorbankan sekitar 250,000 nyawa dari tahun 1989 hingga 2003. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN