ISLAMABAD, 18 Julai – Hujan monsun yang berterusan di wilayah Punjab, Pakistan meragut sekurang-kurangnya 63 nyawa dan mencederakan hampir 300 orang dalam tempoh 24 jam lalu, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Khamis.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA), sebahagian besar kematian berpunca daripada kejadian bumbung rumah runtuh, khususnya di kediaman yang dibina dengan struktur lemah.
Sejak akhir Jun, 103 kematian dan 393 kecederaan direkodkan di wilayah Punjab sahaja manakala lebih 120 buah rumah dilaporkan rosak dan enam haiwan ternakan mati.
Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) pula melaporkan bahawa jumlah kematian di seluruh negara akibat hujan lebat yang bermula pada 25 Jun kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 159 orang, dengan lebih daripada 1,000 rumah rosak.
Timbalan Pengarah Pusat Ramalan Cuaca Kebangsaan, Farooq Dar memberitahu agensi Reuters bahawa hujan berterusan dijangka akan berlaku selama tiga hari lagi, dan satu lagi pusingan hujan dijangka pada hujung minggu depan, terutama di kawasan utara negara itu.
Hujan monsun merupakan fenomena tahunan di Asia Selatan dan penting bagi pengairan tanaman serta bekalan air. Namun, kesan buruknya kian membimbangkan akibat pembandaran pesat, sistem saliran yang lemah, dan peningkatan kejadian cuaca ekstrem yang dikaitkan dengan perubahan iklim. -REUTERS