fb fb fb fb fb

Doktor Argentina protes desak bajet kesihatan dinaikkan

FOTO REUTERS

BUENOS AIRES, 17 Julai – Ribuan doktor, petugas kesihatan dan penyokong berhimpun pada Khamis bagi membantah langkah penjimatan kerajaan yang menjejaskan sektor kesihatan awam negara itu.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk mendesak peningkatan peruntukan dan gaji lebih baik, selain mengkritik dasar Presiden Javier Milei yang didakwa memburukkan keadaan sistem kesihatan negara.

Mereka memberi amaran, pembekuan bajet dan pemberhentian kakitangan sedang mencetuskan krisis serius di hospital utama negara seperti Hospital Garrahan, El Cruce dan Posadas yang menerima pesakit dari seluruh negara.

Penganjur berkata demonstrasi itu mendapat sokongan puluhan kesatuan sekerja dan pertubuhan sosial, selain bertepatan dengan mogok 24 jam oleh kakitangan Hospital Garrahan yang menuntut kenaikan gaji dan penambahbaikan kemudahan kerja.

Lebih 220 kakitangan profesional kesihatan dilaporkan telah meletak jawatan dalam beberapa bulan kebelakangan ini akibat keadaan kerja yang semakin merosot, ditambah pula tekanan inflasi terhadap bajet kesihatan yang tidak berubah, ketika hospital awam berdepan peningkatan bilangan pesakit.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE