fb fb fb fb fb

Ratusan pelarian Rohingya terkandas di pantai Indonesia

Seorang wanita Islam Rohingya dibantu orang lain selepas mendarat di pantai di Sabang, wilayah Aceh/ REUTERS

SABANG, 22 November- Lebih daripada 200 pelarian Rohingya bersesak di sebuah pulau terpencil di Indonesia, selepas hanyut di atas bot kayu sejak berminggu-minggu.

Ia selepas pihak berkuasa menolak tindakan penduduk tempatan untuk menghantar kembali kumpulan itu ke tengah laut.

Ketibaan itu adalah sebahagian daripada lebih 1,000 anggota kumpulan pelarian yang mendarat di pantai wilayah Aceh di barat Indonesia, minggu lalu.

Ribuan pelarian Rohingya yang kebanyakannya beragama Islam mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun melakukan perjalanan laut dari kem pelarian di Bangladesh, selalunya dengan bot kecil untuk cuba sampai ke Malaysia atau Indonesia.

Kumpulan terbaharu seramai 219 pelarian, termasuk 72 lelaki, 91 wanita dan 56 kanak-kanak, tiba di bandar Sabang, wilayah Aceh, kira-kira jam 11:00 malam waktu tempatan (1600 GMT) Selasa.

Pihak berkuasa tempatan kemudian bersetuju untuk memindahkan mereka dengan feri hari ini, ke tempat perlindungan sementara di salah satu bandar terbesar di Aceh, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua agensi sosial Sabang, Naufal, berkata mereka akan dipindahkan ke tempat perlindungan di Lhokseumawe.

Beliau berkata, pemindahan itu telah diselaraskan dengan UNHCR dan pelarian diberikan makanan dan minuman sebaik tiba.

"Kerajaan (tempatan) memutuskan untuk membawa mereka ke tempat yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan," katanya.

Terdahulu, kumpulan itu menghabiskan 15 hari di laut selepas meninggalkan Bangladesh ke Aceh. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI