fb fb fb fb fb

Rakyat Lubnan terima mesej diarah berpindah segera

Tentera Lubnan membuat kawalan ketat di negara itu/Foto AFP

LUBNAN, 23 September - Rakyat di Lubnan menerima amaran pesanan melalui telefon daripada Israel yang meminta mereka untuk berpindah dari negara itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Menteri Penerangan, Ziad Makary dengan salah seorang daripada mereka menerima panggilan tersebut.

"Rakyat di Beirut dan beberapa kawasan lain menerima mesej amaran melalui talian tetap yang mana sumbernya adalah musuh Israel.

"Mereka meminta orang ramai berpindah segera dari tempat mereka berada," kata Agensi Berita Nasional (NNA) Lubnan.

Pejabat menteri menerima panggilan melalui talian tetap, dan apabila kakitangan menjawab, mereka mendengar mesej rakaman yang mengarahkan mereka untuk berpindah.

Pada minggu lalu, 26 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera apabila alat kelui dan radio mudah alih meletup di Lubnan selama dua hari berturut-turut.

Terbaharu, pada Jumaat lalu kematian meningkat secara mendadak sekali gus meningkatkan konflik antara Lubnan dan Israel apabila alat kelui dan walkie-talkie yang digunakan oleh anggota pasukan elit Radwan Hezbollah meletup.

Jumlah kematian dalam serangan tersebut telah meningkat kepada 39 orang, dan lebih daripada 3,000 orang cedera.

Serangan ke atas peranti komunikasi dipercayai dilakukan oleh Israel, walaupun negara itu tidak mengesahkan atau menafikan penglibatannya.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri (KLN) menerusi kenyataan hari ini mengesahkan 23 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan di Lubnan dilaporkan selamat. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN