fb fb fb fb fb

Rakyat Israel bantah pemerintahan Netanyahu

FOTO REUTERS

BAITULMAQDIS, 31 Mac- Berpuluh-puluh ribu orang berdemonstrasi di Baitulmaqdis pada Ahad menentang kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu dan menentang pengecualian yang diberikan kepada lelaki Yahudi ultra-Ortodoks daripada perkhidmatan tentera.

Kumpulan penunjuk perasaan, menganjurkan perhimpunan di luar parlimen, Knesset, menggesa pilihan raya baharu dibuat menggantikan kerajaan.

Ketua pembangkang Yair Lapid mengkritik keras Netanyahu pada demonstrasi itu.

Dia mendakwa Netanyahu memusnahkan hubungan Israel dengan Amerika Syarikat dan membiarkan Hamas menentukan nasib tebusan.

Perdana menteri melakukan "segala-galanya untuk politik, tiada apa-apa untuk negara," dakwa Lapid.

Netanyahu bagaimanapun menafikan kritikan tersebut dan menolak untuk mengadakan pilihan raya.

“Seruan untuk pilihan raya sekarang, pada kemuncak perang, sesaat sebelum kemenangan, akan melumpuhkan Israel sekurang-kurangnya enam bulan, pada anggaran saya lapan bulan,” katanya pada Ahad.

Pilihan raya baharu juga akan melumpuhkan rundingan mengenai pembebasan lebih ramai tebusan sebagai balasan kepada gencatan senjata dalam perang Gaza dan pembebasan tahanan Palestin, kata Netanyahu.

Ini akan "membawa berakhirnya perang sebelum matlamat dicapai" katanya.

Perdana menteri Israel menegaskan bahawa beliau akan membawa pulang semua tebusan. "Saya tidak akan meninggalkan sesiapa pun."

Menurut anggaran Israel, hampir 100 orang yang diculik oleh Hamas masih hidup.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE