Islamabad, 1 April- Seorang lelaki di Pakistan yang merakam abangnya mencekik adik perempuan mereka sehingga mati dalam kejadian "pembunuhan kehormat" telah ditahan polis.
Mangsa, Maria Bibi, 22, didakwa dibunuh pada 17 Mac lalu oleh abangnya, Muhammad Faisal di hadapan bapa mereka, Abdul Sattar, berhampiran bandar Toba Tek Singh di wilayah timur tengah Punjab.
Video yang dirakam oleh seorang lagi abang mangsa, Shehbaz, telah tular di media sosial.
Ia menunjukkan Faisal mencekik gadis itu di atas katil, manakala bapa mereka duduk berdekatan.
Kedengaran dalam video tersebut, Shehbaz berkata; "Ayah, suruh dia (Faisal) lepaskan (mangsa)", tetapi ditolak dengan abangnya terus mencekik Bibi selama lebih dua minit.
Apabila Faisal selesai, ayahnya menawarkan air untuk diminum.
Sattar dan Faisal kemudian ditahan pada 24 Mac lalu, manakala Shehbaz ditahan pada petang Sabtu lalu untuk siasatan.
Isteri Shehbaz yang turut muncul dalam video itu juga ditahan.
Motif pembunuhan masih belum dapat dipastikan.
Namun, pegawai polis di Toba Tek Singh, Ata Ullah berkata, pembunuhan itu mempunyai semua ciri-ciri "pembunuhan penghormatan".
Tambahnya, sebelum kejadian, Faisal didakwa telah beberapa kali menangkap mangsa bercakap melalui panggilan video dengan seorang lelaki tidak dikenali.
Sebanyak 316 jenayah "penghormatan" terhadap wanita direkodkan di negara itu pada 2022, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan. -AFP