fb fb fb fb fb

Berbulan hilang, mayat budak lelaki di Perancis ditemukan

Mangsa, Emile Soleil, 2 tahun

LE VERNET, 1 April- Mayat kanak-kanak lelaki yang hilang sejak tahun lalu ditemukan oleh polis di sebuah perkampungan Alpine, di sini, Perancis, baru-baru ini.

Mangsa, Emile Soleil, 2, dilapor hilang pada 8 Julai tahun lalu ketika tinggal bersama datuk dan neneknya.

Sebelum kejadian, dua orang jiran mendakwa melihat kanak-kanak itu berjalan seorang diri di sini, kira-kira 1,200 meter dari Pergunungan Alps.

“Pada Sabtu (30 Mac), polis dimaklumkan mengenai penemuan tulang berhampiran dusun Le Vernet,” kata pendakwa raya, Jean-Luc Blachon.

Beliau menambah, ujian genetik menunjukkan ia adalah mayat Emile.

Pendakwa raya tidak memberikan punca kematian tetapi memaklumkan bahawa forensik sedang menganalisis tulang yang dijumpai oleh pejalan kaki itu.

Polis juga telah memulakan siasatan jenayah terhadap kemungkinan penculikan atau kemalangan.

Bagaimanapun, media tempatan memberi tumpuan kepada datuk mangsa.

Ia susulan lelaki berusia 50-an itu pernah disoal siasat pada tahun 1990-an berhubung dakwaan keganasan dan serangan seksual di sebuah sekolah swasta.

Emile dilapor hilang sehari selepas dia tiba di kampung datuk dan neneknya untuk bercuti. -AFP

SITI AISHAH MD ISA