fb fb fb fb fb

Perusuh bunuh suspek pembunuhan kanak-kanak lapan tahun

Camila Gomez Ortega, 8, disedari hilang pada hari Rabu selepas dia pergi ke rumah jirannya untuk bermain

MEXICO CITY, 1 April- Pihak berkuasa Mexico telah menahan tiga suspek dalam pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, selepas kumpulan perusuh membunuh seorang wanita yang dituduh terbabit dalam dalam jenayah itu.

"Seorang lelaki dan seorang kanak-kanak bawah umur telah ditangkap pada hari Sabtu", kata pendakwa raya negeri Guerrero dalam satu kenyataan akhbar.

Keluarga kanak-kanak perempuan itu telah menerima panggilan telefon tanpa nama menuntut wang tebusan selepas dia didapati hilang pada Rabu, lapor media Mexico.

Penduduk menyekat salah satu jalan utama Taxco, yang telah dilanda jenayah terancang, selepas mayat kanak-kanak itu ditemui di lebuh raya.

Rakaman kamera keselamatan telah tersebar menunjukkan suspek didakwa meletakkan beg hitam di dalam sebuah kereta, dipercayai mengandungi mayat kanak-kanak berkenaan.

Sekumpulan perusuh berkumpul di luar rumah di mana seorang wanita dan dua lelaki berada, menuntut keadilan. Mereka mengheret ketiga-tiga mereka, menyiram mereka dengan petrol, dan memukul mereka dengan kayu.

Wanita itu meninggal dunia manakala lagi lelaki dimasukkan ke hospital.

Pejabat pendakwa raya tidak menjelaskan sama ada lelaki yang diserang oleh kumpulan yang marah itu adalah antara yang ditahan.

"Saya bersolidariti dengan keluarga mangsa," kata gabenor Guerrero, Evelyn Salgado, pada hari Jumaat di X, sebelum ini Twitter.

Jenayah yang semakin teruk di Taxco menyebabkan Amerika Syarikat pada Januari melarang kakitangan kerajaannya daripada melawat bandar itu, yang terletak kira-kira 170 kilometer (105 batu) dari Mexico City.

Penculikan dan pembunuhan berlaku setiap hari di Mexico, menyaksikan lelaki dewasa sering kali menjadi mangsa sekali gus menjadikan kematian kanak-kanak perempuan itu amat mengejutkan.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE