SYDNEY, 12 Oktober- Beratus-ratus rakyat Australia berkumpul di Bali Memorial di Dolphins Point bagi memperingati tahun ke-20 kejadian pengeboman militan paling dahsyat di dunia.
Dalam kejadian 12 Oktober 2002, seramai 202 orang, termasuk 88 warga Australia dan 38 rakyat Indonesia terbunuh apabila bom kereta meletup di luar Kelab Sari di kawasan Pantai Kuta Bali dan satu lagi letupan hampir serentak berlaku di Paddy's Bar.
Salah seorang mangsa pengeboman, Dr. Hanabeth Luke sanggup mengembara sejauh 700 kilometer dari New South Wales untuk hadir pada majlis tersebut.
Dia digelar 'Angel of Bali' kerana berusaha menyelamatkan seorang remaja berusia 17 tahun, Tom Singer daripada serpihan kenderaan yang terbakar.
"Saya benar-benar mahu bersama orang lain yang pernah melalui perkara yang sama," katanya kepada Reuters.
(Orang ramai meletakkan bunga di tapak Bali Memorial / Foto REUTERS)
Majlis di Memorial Bali diadakan bersebelahan dengan Pantai Coogee, kediaman yang menempatkan pasukan ragbi Coogee Dolphins, yang kehilangan enam anggotanya dalam serangan itu.
Sebanyak 88 burung merpati putih dilepaskan sebagai tanda mengenang mangsa warga Australia.-REUTERS