TEXAS, 17 Mac- Beberapa pertubuhan hak asasi manusia di Amerika Syarikat (AS) memasang papan iklan di jalan-jalan utama sekitar negara itu menyeru agar konflik Hamas-Israel di Gaza dihentikan segera.
Memetik agensi berita Palestin (WAFA), papan iklan yang dipasang di jalan-jalan Chicago, Michigan, Texas, New York dan negeri-negeri lain itu turut menuntut kebebasan untuk rakyat Palestin.
Ia juga sebagai solidariti dan sokongan rakyat AS terhadap Gaza.
Rakyat AS mendesak supaya pentadbiran Presiden Joe Biden menamatkan perang itu, selain memberikan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada Palestin.
Dalam pada itu, ratusan penyokong Palestin berkumpul di luar konsulat Israel di Chicago untuk membantah konflik yang sedang berlaku dan pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin.
Penyokong Palestin turut mengadakan perarakan di New York dalam membantah sokongan berterusan ketenteraan AS terhadap Israel.