BANGKOK, 4 September- Raja Thailand Maha Vajiralongkorn memperkenan pelantikan 36 anggota kabinet baharu Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra, menurut Warta Diraja hari ini, termasuk 12 muka baharu.
Parti Pheu Thai pimpinan Paetongtarn, mendominasi kabinet baharu dan mengekalkan Menteri Kewangan semasa Pichai Chunhavajira dan Menteri Luar Maris Sangiampongsa.
Timbalan Perdana Menteri Phumtham Wechayachai mengambil alih portfolio pertahanan dan telah digantikan sebagai Menteri Perdagangan oleh Penasihat Tertinggi Pheu Thai dan bekas Menteri Tenaga Pichai Naripthaphan.
Pheu Thai mempunyai 17 jawatan di kabinet, termasuk menteri dan timbalan menteri, dengan baki 19 jawatan dibahagikan kepada rakan gabungannya.
Paetongtarn, 38, dipilih oleh Parlimen bulan lalu untuk menjadi perdana menteri termuda Thailand dan wanita kedua dalam jawatan itu, selepas penyingkiran mengejut Srettha Thavisin oleh mahkamah yang mengatakan dia telah melanggar etika dalam pelantikan kabinet.
Paetongtarn ialah anak bongsu kepada bekas perdana menteri berpengaruh Thaksin Shinawatra, yang masih dilihat memegang kuasa di belakang tabir. Dia adalah yang keempat dalam ahli keluarganya memegang jawatan itu dengan tiga yang lain disingkirkan melalui rampasan kuasa atau dalam keputusan mahkamah.-REUTERS