fb fb fb fb fb

Raja Salman undang 1,300 jemaah haji dari 100 negara

Foto BERNAMA

RIYADH, 23 Mei- Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud telah mengeluarkan arahan diraja untuk mengundang 1,300 jemaah lelaki dan wanita dari 100 negara bagi menunaikan haji tahun ini.

Inisiatif tersebut dilaksanakan di bawah Program Tetamu Penjaga Dua Masjid Suci untuk Haji, Umrah dan Ziarah yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), program itu bertujuan memperkukuh ikatan kerohanian dan budaya dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan, Sheikh Dr Abdullatif Al Alsheikh yang menyelia pelaksanaan program itu, merakamkan penghargaan kepada Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman atas sokongan berterusan mereka.

Beliau menyifatkan arahan tersebut sebagai manifestasi komitmen mendalam Arab Saudi dalam berkhidmat kepada dunia Islam dan peranannya yang terkemuka dalam hal ehwal keagamaan.

Al Alsheikh menambah, program itu turut memperkukuh hubungan dengan pemimpin agama dan pemikir Islam dari pelbagai negara serta menggalakkan dialog dan persefahaman budaya.

Beliau turut menekankan bahawa inisiatif itu menyokong usaha Kerajaan Arab Saudi untuk memperdalam kesatuan Islam dan selaras dengan matlamat kemanusiaan Visi Arab Saudi 2030.

Sehubungan itu, kementerian telah menggerakkan semua sumber bagi memastikan pengalaman yang lancar dan berkualiti tinggi untuk para tetamu haji.

Satu pelan pelaksanaan menyeluruh telah disusun, merangkumi aspek keagamaan, budaya dan pendidikan.

Para jemaah akan mengunjungi tempat-tempat bersejarah dan penting dalam Islam di Makkah dan Madinah serta berpeluang bertemu para ulama dan imam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Sejak dimulakan pada 1996, program itu telah menerima kira-kira 65,000 jemaah dari 140 negara.

Para tetamu menerima sokongan penuh termasuk bimbingan agama, logistik, perkhidmatan kesihatan dan kebudayaan bermula daripada proses pencalonan sehingga pulang ke negara masing-masing selepas haji.- BERNAMA-SPA

MOHAMAD KHAIRIE KHALID