DOHA, 24 Jun - Qatar menutup sementara ruang udaranya susulan ketegangan yang terus memuncak di rantau itu.
Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat di negara itu.
“Selaras dengan komitmen Qatar terhadap keselamatan semua individu di wilayahnya, pihak berkuasa berkaitan telah memutuskan untuk menggantung sementara navigasi udara di ruang udara negara ini,” menurut kenyataan itu.
Keputusan berkenaan juga sebahagian daripada langkah berjaga-jaga yang lebih meluas berikutan keadaan serantau yang semakin meruncing.
Pihak berkuasa Qatar juga sedang memantau situasi secara dekat dan berterusan dan menilai perkembangan bersama rakan serantau dan antarabangsa.
Kementerian itu berkata, orang ramai akan dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan menerusi saluran rasmi.
“Keselamatan dan kesejahteraan semua individu di Qatar terus menjadi keutamaan,” kata kenyataan itu.
Qatar juga tidak teragak-agak untuk melaksanakan langkah perlindungan yang diperlukan.
Penutupan ruang udara turut diumum Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketegangan di rantau itu memuncak pada Ahad selepas Amerika Syarikat mengebom tiga kemudahan nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.