ISLAMABAD, 24 Jun - Serangan Amerika Syarikat ke atas Iran mengundang protes masyarakat global.
Di Pakistan, ratusan rakyat negara itu turun ke jalan di beberapa bandar utama termasuk Islamabad, Karachi dan Lahore mengecam tindakan tersebut.
Protes aman sebagai membantah serangan tersebut dianjurkan parti Islam Jamaat-e-Islami.
Di Lahore, bandar kedua terbesar di Pakistan, hampir 1,000 orang berkumpul mengecam serangan tersebut.
Penunjuk perasaan turut menyuarakan ketidakpuasan terhadap cadangan awal Islamabad untuk mencalonkan Presiden Donald Trump bagi Anugerah Keamanan Nobel.
Mereka mendesak pemerintah membatalkan cadangan itu susulan tindakan Trump yang mengarahkan serangan ke atas Iran yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan mahu konflik diselesaikan secara diplomasi.
Pejabat Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dalam satu kenyataan memaklumkan, pemimpin itu telah menghubungi Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menyatakan pendirian Pakistan yang mengutuk serangan berkenaan.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu pada hari Ahad, mencadangkan resolusi yang menyeru gencatan senjata segera dan tanpa syarat bagi mengakhiri konflik di Asia Barat itu. - REUTERS