WASHINGTON, 24 Jun - Pentagon mengesahkan sebuah pangkalan tentera utamanya di Qatar telah diserang peluru berpandu Iran.
Perkara itu disahkan seorang Pegawainya menerusi satu kenyataan.
"Saya dapat mengesahkan bahawa Pangkalan Udara Al Udeid telah diserang oleh peluru berpandu balistik jarak pendek dan sederhana yang berasal dari Iran.
"Pada masa ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa diterima. Kami sedang memantau situasi ini dengan dekat dan akan memberikan maklumat lebih lanjut sebaik sahaja ia tersedia," katanya seperti dilapor Anadolu Ajansi.
Al Udeid adalah pangkalan tentera Amerika terbesar di Asia Barat yang juga berfungsi sebagai ibu pejabat Komando Pusat atau CENTCOM di rantau itu.
Serangan tersebut dilancarkan ketika kebimbangan tentang peningkatan ketegangan serantau terus meningkat selepas serangan udara Amerika Syarikat ke atas tiga kemudahan nuklear utama Iran, pada Ahad.
Sebelum itu, Ketua Staf Iran, Mejar Jenaral Abdolrahim Mousavi dilapor berkata, serangan Amerika Syarikat ke atas kemudahan nuklearnya tidak akan dibiarkan begitu sahaja tanpa balasan.
Presiden Trump pula memberi amaran, sebarang balasan Iran akan ditangani dengan kekuatan yang jauh lebih besar.