MOSCOW, 10 Julai- Presiden Vladimir Putin telah bertemu dengan ketua Wagner Yevgeny Prigozhin pada 29 Jun di Kremlin beberapa hari selepas kumpulan tentera upahan itu cuba menjatuhkan kepimpinan tentera Rusia.
"Presiden memberikan penilaiannya tentang peristiwa 24 Jun," kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, merujuk kepada pemberontakan yang gagal, sambil menambah Putin juga "mendengar laporan yang diberikan oleh komander kumpulan Wagner".
Hanya lebih dua minggu selepas pemberontakan yang dibatalkan, masih terdapat ketidakpastian yang menyelubungi nasib kumpulan Wagner dan perjanjian menamatkan pemberontakan terhadap ketua tentera Rusia.
Bawah rancangan tersebut, ketua tentera upahan dan beberapa pejuangnya dijangka diusir ke Belarus.
Pasukan Wagner yang ingin terus berjuang untuk Rusia akan menandatangani kontrak dengan tentera konvensional.
Semasa pertemuan selama hampir empat jam di Kremlin dengan komander Wagner, Putin "menawarkan mereka pilihan pekerjaan alternatif", termasuk peranan dalam pertempuran.
Pemberontakan itu dilihat sebagai cabaran terbesar kepada kuasa Putin sejak dia berkuasa.
Komander Wagner "menegaskan bahawa mereka adalah penyokong tegar... ketua negara", kata Peskov.
"Mereka juga bersedia untuk terus berjuang demi tanah air."
Pemimpin Belarus Alexander Lukashenko yang bertindak sebagai orang tengah dalam perjanjian dengan Wagner berkata, Prigozhin mahupun orang-orangnya tidak berada di negaranya.- AFP
(Vladimir Putin/AFP)