MAE SAI, 10 Julai- Beratus-ratus orang berkumpul pada Isnin untuk mengingati penyelamatan dramatik 12 pemain bola sepak muda dari sebuah gua banjir di utara Thailand.
Kini dalam usia lewat belasan tahun, kanak-kanak lelaki dan jurulatih mereka, Ekkapol Chantawong, turun ke dalam bilik bercahaya di kompleks gua Tham Luang untuk memberi penghormatan kepada beribu-ribu orang yang bekerja selama 18 hari, siang dan malam untuk mengeluarkan mereka.
Pasukan "Wild Boars" memasuki gua pada Jun 2018 dan terperangkap apabila hujan membanjiri kawasan itu.
Bagaimanapun, operasi menyelamat antarabangsa mendapat pujian global.
"Jika bukan kerana orang-orang ini kami tidak akan terselamat, dan tidak akan hidup hari ini," kata Ekkapol.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua."
Ulang tahun menggembirakan itu turut diselubungi kesedihan berikutan kematian kapten berusia 17 tahun Duangpetch Promthep, yang mendapat biasiswa bola sepak di Britain awal tahun ini.
Bekas rakan sepasukannya masing-masing meletakkan bunga putih sebagai tanda peringatannya di luar gua, dikelilingi oleh orang ramai.
Sebuah video penghormatan turut dimainkan di dalam gua untuk bekas gabenor Chiang Rai, Narongsak Osatanakorn, yang mengendalikan insiden itu.
Narongsak Osatanakorn meninggal dunia bulan lalu.
"Kita tidak boleh melupakan usaha semua individu yang terlibat dalam misi menyelamat, terutama mereka yang tidak lagi berada di sini bersama kita," kata Varawut Silpa-archa, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.- AFP
(Jurulatih Ekkapol Chantawong (kiri) dan ahli pasukan bola sepak remaja Thai "Wild Boars"/AFP)