fb fb fb fb fb

Putin, Xi Jinping perkukuh kerjasama strategik menyeluruh dua negara

FOTO AFP

MOSCOW, 8 Mei- Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping menandatangani kenyataan bersama pada Khamis bagi memperkukuhkan lagi perkongsian strategik menyeluruh antara kedua-dua negara.

Dalam satu sidang media di Kremlin selepas rundingan lebih tiga jam, Putin menyifatkan hubungan Rusia-China sebagai “berdikari, stabil dan semakin berkembang”, sambil memaklumkan kedua-dua negara kini hampir sepenuhnya menjalankan urusan perdagangan menggunakan mata wang masing-masing sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap sistem kewangan Barat.

“Satu sistem perdagangan dua hala yang stabil dan terlindung dari pengaruh kuasa ketiga kini telah diwujudkan,” ujar Putin.

Beliau turut mengumumkan pemeteraian satu perjanjian pelaburan antara kerajaan yang menurutnya akan melonjakkan jumlah pelaburan dua hala antara Rusia dan China.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin menekankan perlunya memperluaskan penggunaan mata wang nasional dalam penyelesaian perdagangan dan kewangan sebagai langkah menyokong kestabilan hubungan komersial yang terdedah kepada ketidaktentuan pasaran global.

Presiden Xi Jinping pula dalam ucapannya menegaskan China dan Rusia akan terus memperkukuh kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang, yang menurut beliau bukan sahaja akan menguntungkan rakyat kedua-dua negara tetapi juga “menyuntik dorongan baharu kepada pembangunan global”.

“China dan Rusia perlu mantapkan asas material bagi kerjasama strategik menyeluruh, serta memperdalam kerjasama demi manfaat bersama,” kata Xi.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE