fb fb fb fb fb

Bill Gates pasang niat sumbang hampir semua harta peribadi kepada orang miskin

Pengasas bersama Microsoft dan dermawan terkenal, Bill Gates / REUTERS

NEW YORK, 8 Mei- Pengasas bersama Microsoft dan dermawan terkenal, Bill Gates, mengumumkan rancangan untuk menyerahkan hampir keseluruhan kekayaan peribadinya dalam tempoh dua dekad akan datang, dengan komitmen sekitar AS$200 bilion akan disalurkan kepada golongan termiskin dunia menerusi Yayasan Bill & Melinda Gates.

Dalam satu kenyataan sempena ulang tahun ke-25 yayasan tersebut, Gates, 69, menyatakan beliau akan mempercepatkan usaha pembahagian hartanya dan merancang untuk menutup operasi yayasan itu sepenuhnya pada 31 Disember 2045.

“Orang akan kata macam-macam bila saya mati nanti, tapi saya nekad satu perkara, iaitu saya tidak mahu dikenang sebagai lelaki yang mati dalam kekayaan,” tulis beliau dalam catatan di laman web rasminya.

“Ada terlalu banyak masalah mendesak di dunia ini untuk saya pegang harta yang sepatutnya boleh digunakan untuk bantu orang lain,” tambahnya.

Kenyataan beliau turut membawa nada sindiran terhadap pemotongan bantuan antarabangsa oleh beberapa negara kaya, termasuk Amerika Syarikat semasa pentadbiran Presiden Donald Trump. Gates menekankan bahawa dana yayasannya akan difokuskan kepada mencegah kematian bayi baru lahir, kanak-kanak dan ibu akibat penyakit yang boleh dicegah, serta membasmi penyakit seperti polio, malaria dan campak.

“Kita tidak pasti sama ada negara terkaya dunia akan terus tampil untuk bantu golongan paling miskin,” katanya, sambil merujuk kepada pengurangan bantuan dari penderma utama termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis.

Walaupun memiliki dana yang besar, Gates mengakui kejayaan sebenar hanya dapat dicapai dengan sokongan kerajaan. Beliau memuji beberapa negara Afrika yang telah mengagihkan semula bajet untuk menampung kekurangan bantuan, namun memberi amaran bahawa usaha membasmi polio contohnya, tidak akan berjaya tanpa pembiayaan AS.

Yayasan Gates ditubuhkan pada tahun 2000 bersama bekas isterinya, Melinda French Gates, dan kemudiannya disertai oleh pelabur legenda Warren Buffett.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE