fb fb fb fb fb

Pusat penghantaran bijirin Laut Hitam akan dibuka di Istanbul

(FOTO REUTERS)

ISTANBUL, 26 Julai- Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Turkiye akan membuka pusat penyelarasan bersama dengan Rusia dan Ukraine di sini, bagi menguruskan penyambungan semula penghantaran bijirin eksport merentasi Laut Hitam.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Turkiye, pusat itu akan dibuka secara rasmi dalam majlis yang dihadiri Menteri Pertahanan, Hulusi Akar.

Agensi berita negara TASS Rusia pula melaporkan, delegasi pertahanan Rusia telah terbang ke Istanbul untuk upacara itu hari ini.

Pusat arahan dan kawalan bersama itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada perjanjian penting yang ditandatangani Rusia dan Ukraine bersama PBB dan Turkiye pada Jumaat lepas.

Semalam, Ukraine menyuarakan harapan untuk menghantar bekalan pertama mereka sejak pencerobohan Rusia pada Februari lalu, lewat minggu ini.

Sekatan penghantaran daripada dua pengeksport bijirin terbesar dunia telah menyebabkan lonjakan harga yang menyebabkan import makanan menjadi mahal untuk beberapa negara termiskin di dunia.

(Ukraine dan Rusia menyumbang kira-kira satu pertiga daripada eksport gandum global
sebelum serangan 24 Februari di Rusia/Fail REUTERS)

Anggaran PBB mengatakan hampir 50 juta orang mula menghadapi "kebuluran akut" di seluruh dunia akibat perang.

Harga gandum jatuh mendadak beberapa jam selepas perjanjian bijirin ditandatangani.

Tetapi serangan peluru berpandu Rusia terhadap pelabuhan Laut Hitam Ukraine di Odessa pada Sabtu lepas mencetuskan keraguan tentang perjanjian itu. -AFP

Media Baharu