fb fb fb fb fb

Pusat agihan makanan Yayasan Kemanusiaan Gaza ditutup sementara

Penduduk menunggu bantuan/ REUTERS

GAZA, 4 Jun- Yayasan Kemanusiaan Gaza menutup sementara semua pusat agihan makanannya bermula 4 Jun (hari ini) bagi tujuan "kemas kini, penyusunan semula dan penambahbaikan kecekapan."

Pengumuman yang dimuat naik di Facebook itu turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mendekati lokasi berkenaan.

Yayasan Kemanusiaan Gaza melancarkan pusat agihan pertamanya minggu lalu untuk menangani masalah kebuluran meluas dalam kalangan 2.3 juta penduduk Gaza.

Majoriti penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Bagaimanapun, operasi yayasan itu yang tidak melalui agensi bantuan tradisional menerima kritikan hebat daripada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan amal utama lain kerana didakwa tidak mematuhi prinsip kemanusiaan sejagat.

Sebanyak 21 buah trak makanan berjaya diagihkan pada Selasa dan sekurang-kurangnya 27 rakyat Palestin terbunuh manakala puluhan lagi cedera dalam insiden berasingan pada hari sama akibat tembakan tentera Israel berhampiran sebuah pusat agihan makanan di selatan Gaza.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI