NEW YORK, 4 Jun- Beta Technologies mencatat sejarah sebagai syarikat pertama di Amerika Syarikat (AS) yang mendaratkan pesawat elektrik sepenuhnya membawa penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK), di sini pada Selasa.
Menurut kenyataan syarikat itu, pesawat berkenaan dinamakan ALIA terbang selama 45 minit dengan seorang juruterbang dan empat penumpang sebelum selamat mendarat di lapangan terbang tersibuk di negara itu.
Ketika ini, syarikat pengangkutan termasuk syarikat penerbangan giat membangunkan perkhidmatan menggunakan pesawat berkuasa bateri elektrik sekali gus menawarkan alternatif perjalanan singkat dalam bandar serta mengelak kesesakan lalu lintas.
Beta Technologies memaklumkan bahawa pesawat ALIA mempunyai jarak penerbangan sejauh 250 batu nautika atau kira-kira 463 kilometer bagi setiap pengecasan penuh.
Pada Oktober lalu, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) meluluskan garis panduan lengkap melibatkan latihan dan pensijilan juruterbang bagi pengoperasian teksi udara.
Langkah itu disifatkan sebagai strategi terakhir dalam memastikan keselamatan sebelum memperkenalkan teknologi tersebut dalam masa terdekat.
Dalam bulan sama, Beta turut berjaya meraih pelaburan ekuiti berjumlah AS$318 juta bagi membiayai proses pengeluaran, pensijilan dan pengkomersialan pesawat elektrik, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan terkumpul melebihi AS$1 bilion.
Syarikat yang berpangkalan di Vermont itu diasaskan pada tahun 2017.
Kyle Clark, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Beta Technologies berkata, kejayaan itu merupakan impiannya selama lebih 20 tahun.
"Kami membangunkan setiap komponen pesawat ini sendiri kerana dalam bidang aeroangkasa, aspek keselamatan tidak boleh dikompromi.
"Setiap komputer, motor, bateri, sistem agihan, dan komponen yang memastikan pesawat ini terus terbang – semuanya dibangunkan di Vermont, New York dan sebahagiannya di Raleigh. Di sinilah kami mencipta bentuk pengangkutan yang benar-benar baharu," katanya.- REUTERS