fb fb fb fb fb

Puluhan ribu rakyat Maghribi tuntut gencatan senjata di Gaza

Puluhan ribu rakyat Maghribi tunjuk perasaan, tuntut gencatan senjata di Gaza/ AFP

RABAT, 21 Julai – Puluhan ribu rakyat Maghribi melakukan tunjuk perasaan susulan situasi kemanusiaan yang semakin memburuk di Gaza, selain mendesak kerajaan menarik balik perjanjian dengan Israel.

Penunjuk perasaan berhimpun di pusat bandar membawa bendera Palestin serta sepanduk yang menuntut agar bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke wilayah itu.

Antara slogan yang dilaungkan ialah "Gaza dibedil, satu penghinaan!", "Buka sekatan!", "Maghribi dan Palestin, satu bangsa!" serta "Tolak normalisasi!".

Perang di Gaza tercetus selepas serangan Israel pada 7 Oktober 2023 lalu yang telah mencetuskan krisis kemanusiaan serius terhadap lebih dua juta penduduk wilayah tersebut.

Majoriti penduduk dilaporkan telah dipindahkan sekurang-kurangnya sekali sejak pertempuran bermula, sementara doktor dan agensi bantuan menyuarakan kebimbangan terhadap kesan fizikal dan mental akibat peperangan selama 21 bulan, termasuk peningkatan kes kebuluran teruk.

"Rakyat Palestin sedang dizalimi dan dibunuh di depan mata dunia. Menjadi tanggungjawab kami untuk menentang situasi tragik dan tidak tertanggung ini," kata seorang penunjuk perasaan, Jamal Behar

Pada 2020 Maghribi telah menandatangani perjanjian dengan Israel yang disokong Amerika Syarikat, namun tekanan terhadap perjanjian tersebut semakin meningkat dalam kalangan rakyat negara Afrika Utara itu sejak perang Gaza. – AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI