SULAWESI, 21 Julai – Sekurang-kurangnya lima individu dilaporkan maut dalam kejadian kebakaran sebuah feri di perairan Sulawesi pada Ahad.
Agensi Keselamatan Maritim Indonesia (Bakamla) dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 284 individu berjaya diselamatkan namun lima mangsa disahkan terkorban termasuk dua yang masih belum dikenal pasti identitinya.
Feri KM Barcelona 5 dilaporkan terbakar ketika dalam perjalanan ke Manado, ibu negeri wilayah Sulawesi Utara.
"Sebahagian penumpang bertindak terjun ke laut dengan memakai jaket keselamatan. Nelayan tempatan turut membantu membawa mangsa ke pulau-pulau berhampiran," menurut kenyataan itu.
Mangsa yang cedera telah dihantar ke pusat kesihatan terdekat untuk rawatan lanjut.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Manado, George Leo Mercy Randang berkata, insiden berlaku kira-kira sejam selepas perjalanan dari kawasan peranginan Likupang yang terletak di hujung utara Sulawesi.
Sebuah video yang dikongsi agensi itu menunjukkan kapal milik Bakamla sedang menyembur air ke arah feri terbabit yang masih mengeluarkan asap hitam.
"Apa yang penting kini adalah memberi keutamaan kepada operasi menyelamat," katanya.
Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui. - AFP