LONDON, 7 Jun – Prototaip asal beg Hermès Birkin yang direka khas buat pelakon ikonik, Jane Birkin bakal dilelong oleh Sotheby’s dalam acara “Fashion Icons” pada 10 Julai ini.
Beg tersebut dihasilkan oleh CEO Hermès, Jean-Louis Dumas, selepas pertemuan secara kebetulan dalam sebuah penerbangan, apabila Birkin menyuarakan keperluannya terhadap beg yang lebih besar.
Reka bentuknya diinspirasikan daripada model lama Haut à courroies, lalu digabungkan dengan ciri-ciri Birkin.
Menurut Sotheby’s, beg itu kekal dalam keadaan asal seperti ditinggalkan oleh Birkin pada 1994, lengkap dengan pelekat dan kesan gam.
Ia dimiliki oleh seorang pengumpul dari Perancis sejak tahun 2000 dan pernah dipamerkan di beberapa muzium.
Walaupun nilai anggaran tidak didedahkan, Sotheby’s menjangkakan ia bakal mencatatkan rekod baharu.
Jane Birkin meninggal dunia pada Julai 2023 pada usia 76 tahun.-REUTERS