LOS ANGELES, 26 April- Protes pro-Palestin merebak ke lebih banyak kampus di Amerika Syarikat apabila pihak berkuasa mula mengenakan tindakan secara paksa.
Pegawai rusuhan menggunakan bahan kimia perengsa di sebuah universiti bagi mengawal keadaan.
Demonstrasi itu mula tersebar ke seluruh kampus di Amerika Syarikat, dengan aktivis menyeru gencatan senjata dalam perang yang dicetuskan rejim zionis Israel.
"Selama 201 hari, dunia memerhati dalam diam tindaan kejam Israel yang telah membunuh lebih 30,000 rakyat Palestin," kata mesej yang disiarkan menerusi aplikasi permesejan oleh penganjur protes di Universiti California, di sini.
"Hari ini, UCLA menyertai pelajar di seluruh negara dalam menuntut universiti kami supaya tidak terlibat dengan pendudukan, apartheid dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin."
Lebih 200 penunjuk perasaan telah ditangkap pada Rabu dan Khamis di universiti di Los Angeles, Boston dan Austin, Texas.
Di Kolej Emory di Atlanta menunjukkan polis memegang taser ketika mereka cuba mengawal keadaan penunjuk perasaan.
Jabatan Polis Atlanta (APD) berkata pihak kolej telah meminta bantuan untuk "menjaga keselamatan kampus".
Protes turut meluas di Universiti Columbia di New York,selain menimbulkan cabaran besar kepada pentadbir universiti yang cuba mengimbangi dasar kampus terhadap kebebasan bersuara.
Penyokong pro-Israel dan lain-lain bimbang tentang keselamatan kampus dan mendakwa kampus menggalakkan ugutan dan ucapan kebencian.
Penunjuk perasaan berkata mereka menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza berikutan jumlah kematian mencecah 34,305 orang.
"Orang ramai (berada) di sini untuk menyokong rakyat Palestin, kami semua dari latar belakang yang berbeza bersatu dan berada di sini," kata seorang penunjuk perasaan di Universiti Texas, Austin, yang mahu dikenali sebagai Josh kepada AFP.
Sekutu AS, Israel melancarkan perangnya ke atas Gaza pada 7 Oktober lalu.- AFP