fb fb fb fb fb

Protes di Iran, lebih 75 orang dilapor terkorban

(FOTO AFP)

PARIS, 27 September- Lebih 75 orang dilaporkan terkorban susulan tindakan kekerasan pihak berkuasa Iran bagi menangani protes antikerajaan yang tercetus disebabkan kematian seorang wanita Kurdish, Mahsa Amini, menurut sebuah kumpulan hak asasi semalam.

Jumlah kematian rasmi direkodkan pihak berkuasa Iran kekal 41 orang, termasuk dalam kalangan anggota pasukan keselamatan.

Menurut pihak berkuasa, mereka menahan lebih 1,200 orang ketika demonstrasi terus meluas di seluruh negara berhubung kematian Amini ketika dalam tahanan polis.

Wanita itu didakwa melanggar peraturan ketat kod etika berpakaian negara itu yang menetapkan pemakaian hijab dan pakaian secara sederhana.

Menurut beberapa saksi kepada AFP, penunjuk perasaan turun ke jalanan sekali lagi sebagaimana yang dilakukan setiap malam di Tehran dan tempat lain sejak kematian Amini pada 16 September lalu.


(Penunjuk perasaan berhimpun di Paris pada hari Ahad sebagai solidariti dengan
demonstrasi antikerajaan di dalam republik Islam / AFP)

Kumpulan peserta protes di Tehran melaungkan 'tamatkan pemerintahan diktator', menggesa pengunduran pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, 83, yang telah memerintah negara itu lebih tiga dekad.

Video yang dirakam dari tingkat atas di beberapa jalan, antaranya dikatakan di bandar Tabriz, menunjukkan orang ramai membantah susulan tindakan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata, menerusi imej yang dikeluarkan kumpulan Hak Asasi Manusia Iran (IHR) yang berpangkalan di Oslo.

IHR berkata, sekurang-kurangnya 76 orang terbunuh dalam tindakan keras di Iran, meningkat daripada kiraan sebelumnya iaitu 57 individu.

Dalam pada itu, ketegangan membabitkan kuasa barat meningkat apabila Jerman memanggil duta Iran dan Kanada bagi mengumumkan sekatan, sehari selepas Kesatuan Eropah mengecam tindakan keras yang dilakukan dan Tehran memanggil utusan dari Britain serta Norway.

"Kami menggesa masyarakat antarabangsa lebih tegas dan bersatu bagi mengambil langkah praktikal untuk menghentikan pembunuhan dan penyeksaan terhadap penunjuk perasaan," kata pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam.

Beliau turut mendakwa, rakaman video dan sijil kematian yang diperoleh IHR menunjukkan 'peluru hidup sedang ditembak terus ke arah penunjuk perasaan'.

Dalam rakaman video terbaru AFP, polis rusuhan Iran lengkap dengan perisai badan memukul penunjuk perasaan yang berkumpul di jalanan, sementara kumpulan pelajar bertindak mengoyak gambar Ayatollah Ruhollah Khomeini . - AFP

Media Baharu