LIMA, 16 Oktober - Ribuan rakyat Peru turun ke jalanan di ibu negara, Lima, pada Rabu dalam demonstrasi besar pertama menentang presiden sementara, Jose Jeri, yang bertukar ganas selepas berlaku pertempuran dengan polis rusuhan.
Protes yang digerakkan melalui media sosial itu disertai pelbagai kumpulan masyarakat sivil, kesatuan pekerja, pengangkutan serta golongan muda Generasi Z, dengan tumpuan di Plaza San Martín, pusat bandar Lima.
Penunjuk perasaan menuntut tindakan tegas terhadap peningkatan kadar jenayah, pembubaran Kongres, malah ada yang mendesak pembentukan perhimpunan perlembagaan baharu bagi menggubal semula perlembagaan negara.
Keadaan menjadi tegang apabila peserta demonstrasi membakar pagar keselamatan serta melontar bom Molotov, mercun dan objek lain ke arah barisan polis, yang kemudian membalas dengan gas pemedih mata bagi menyuraikan orang ramai.
Ratusan peserta turut berarak menuju ke bangunan Kongres sambil membawa sepanduk menentang pentadbiran baharu.
Protes itu berlaku enam hari selepas Presiden Dina Boluarte digulingkan melalui proses pemecatan, dan tempatnya digantikan oleh Jeri selaku bekas Speaker Kongres.
Sehari sebelumnya, Jeri mengumumkan barisan kabinet baharunya yang diketuai bekas hakim dan ahli politik konservatif, Ernesto Álvarez.-REUTERS