PARIS, 18 September – Guru, pemandu kereta api, ahli farmasi dan kakitangan hospital antara pekerja yang dijangka melancarkan mogok di Perancis pada Khamis.
Protes berkenaaan dilakukan sebagai menentang pemotongan bajet yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Perancis.
Kesatuan sekerja menuntut lebih banyak perbelanjaan untuk perkhidmatan awam, cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya, serta pembatalan perubahan pencen kerajaan yang tidak popular.
“Pekerja yang kami wakili sedang marah,” kata kesatuan sekerja utama negara itu dalam kenyataan bersama yang menolak rancangan fiskal kerajaan terdahulu yang disifatkan “kejam” dan “tidak adil”.
Defisit bajet Perancis tahun lalu meningkat hampir dua kali ganda menghampiri had siling 3% EU.
Keadaan itu menyebabkan Perdana Menteri baharu Perancis, Lecornu berdepan cabaran politik bagi mendapatkan sokongan parlimen untuk bajet 2026.
Lecornu dilantik sebagai perdana menteri minggu lalu selepas parlimen menyingkirkan Francois Bayrou berhubung cadangannya untuk pengurangan bajet sebanyak 44 bilion euro.
Perdana menteri baharu itu belum menyatakan pendiriannya terhadap pelan Bayrou, tetapi membuka ruang untuk berkompromi.
“Kami akan terus menggerakkan rakyat selagi tiada jawapan yang memadai,” kata Ketua Kesatuan CGT, Sophie Binet selepas bertemu Lecornu awal minggu ini.
“Bajet akan ditentukan di jalan raya", ujarnya.
Satu daripada tiga guru sekolah rendah akan menyertai mogok, menurut kesatuan FSU-SNUipp.
Selain itu, Syarikat tenaga EDF turut memaklumkan sebahagian pekerjanya akan menyertai mogok.
Gangguan utama dijangka berlaku pada rangkaian metro di Paris, manakala tren wilayah juga akan terjejas teruk, meskipun kebanyakan laluan tren laju TGV masih akan beroperasi, kata pegawai.
Kesatuan petani, Confederation Paysanne, turut menyeru ahlinya untuk turun ke jalan.
Ahli farmasi pula marah dengan perubahan yang menjejaskan perniagaan mereka, manakala kesatuan USPO menyatakan hasil tinjauan menunjukkan 98% farmasi berkemungkinan menutup operasi pada hari tersebut.
Sumber Kementerian Dalam Negeri berkata sehingga 800,000 orang dijangka menyertai mogok dan protes tersebut.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau, memberitahu BFM TV bahawa 80,000 anggota polis dan polis tentera akan dikerahkan mengawasi keadaan.
Unit rusuhan, dron dan kenderaan berperisai turut disediakan untuk mengekang kemungkinan sabotaj serta cubaan menyekat beberapa lokasi sejak awal.
Retailleau juga menjangka sebahagian perusuh akan cuba mencetuskan pertembungan dengan pihak polis.
Perkembangan terbaharu ini memuncak ketika Presiden Emmanuel Macron dan Perdana Menteri baharu, Sebastien Lecornu, berdepan krisis politik serta tekanan untuk mengawal kewangan ekonomi kedua terbesar zon euro itu. - REUTERS