fb fb fb fb fb

Program nuklear: Iran, Eropah adakan perbincangan

Foto REUTERS

GENEVA, 14 Januari-Iran dan Eropah telah mengadakan perbincangan pada Isnin mengenai program nuklear Tehran,seminggu sebelum Presiden Amerika Syarikat yang baharu, Donald Trump, memegang jawatan.

Ia merupakan perbincangan pusingan kedua yang diadakan dalam tempoh kurang dua bulan, selepas pertemuan tertutup di Geneva pada November lalu antara Tehran dan tiga kuasa Eropah iaitu Britain, Perancis, dan Jerman yang dikenali sebagai E3.

Hanya sedikit maklumat didedahkan mengenai topik yang dibincangkan pada Isnin atau lokasi pertemuan, tetapi kedua-dua pihak menyatakan perbincangan itu positif.

Agensi berita Iran, ISNA, melaporkan bahawa Timbalan Menteri Luar Negeri Iran, Majid Takht-Ravanchi, bertemu "rakan sejawatannya dari E3".

"Mereka membincangkan isu-isu berkepentingan bersama, termasuk rundingan untuk menghapuskan sekatan, isu nuklear, dan situasi yang membimbangkan di rantau ini," tambahnya tanpa perincian lanjut.

Timbalan Menteri Luar Negeri Iran untuk Hal Ehwal Antarabangsa, Kazem Gharibabadi, menyifatkan perbincangan itu sebagai "serius, terus terang, dan membina".

"Kami membincangkan idea-idea mengenai butiran tertentu dalam bidang penghapusan sekatan dan nuklear yang diperlukan untuk mencapai perjanjian," katanya dalam satu hantaran di X.

"Pihak-pihak bersetuju bahawa rundingan harus diteruskan, dan untuk mencapai perjanjian, semua pihak perlu mencipta dan mengekalkan suasana yang sesuai.

"Kami bersetuju untuk meneruskan dialog kami," tambahnya.

Wakil-wakil Hal Ehwal Luar Negeri Britain, Perancis, dan Jerman menyifatkan perbincangan tersebut sebagai serius, terus terang, dan positif.

"Dalam konteks yang mencabar, kami membincangkan kebimbangan dan mengulangi komitmen kami terhadap penyelesaian diplomatik.

"Kami bersetuju untuk meneruskan dialog kami," kata mereka dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun X masing-masing.

Sebelum pertemuan itu, kementerian luar negeri Jerman memberitahu AFP bahawa perbincangan tersebut "bukan rundingan" sementara Iran menyatakan ia hanyalah konsultasi.

Perbincangan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin dan Selasa itu akan meliputi pelbagai topik, kata jurucakap kementerian luar negeri Iran, Esmaeil Baqaei, semasa taklimat mingguan.

"Objektif utama perbincangan ini adalah untuk menghapuskan sekatan" ke atas Iran, tambahnya, sambil menyatakan bahawa Iran juga turut mendengar topik yang ingin dibangkitkan oleh pihak-pihak lain.

ISNA melaporkan bahawa Takht-Ravanchi akan bertemu pada Selasa secara berasingan dengan diplomat Kesatuan Eropah, Enrique Mora, di Geneva.

Pada Khamis, kementerian luar negeri Perancis menyatakan bahawa pertemuan tersebut merupakan tanda bahawa negara-negara E3 "terus berusaha ke arah penyelesaian diplomatik terhadap program nuklear Iran, yang perkembangannya sangat membimbangkan".

Perbincangan itu berlangsung ketika program nuklear Iran sekali lagi menjadi tumpuan susulan kepulangan Trump ke White House pada 20 Januari.

Semasa penggal pertamanya, Trump menjalankan dasar menekan apabila menarik Amerika Syarikat daripada perjanjian nuklear penting yang mengenakan sekatan ke atas program nuklear Iran sebagai balasan kepada pelepasan sekatan.

Tehran mematuhi perjanjian tersebut sehingga penarikan Amerika Syarikat, tetapi kemudiannya mula melanggar komitmennya.

Usaha untuk menghidupkan kembali perjanjian nuklear 2015 sejak itu menemui jalan buntu, dan pegawai-pegawai Eropah berulang kali menyatakan kekecewaan terhadap ketidakpatuhan Tehran.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD