fb fb fb fb fb

PRK Johor: ‘Jangan sia-siakan undi’ - Khaled Nordin

MUAR, 31 Ogos - Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor bagi Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram dinasihatkan agar tidak mensia-siakan undi mereka pada 9 September ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pengundi bagi kedua-dua kawasan itu perlu mengambil kira kesan untuk tempoh empat tahun akan datang sekiranya memilih wakil rakyat yang tidak ‘turun padang’ ketika diperlukan oleh rakyat.

“Dan yang lebih penting, ini adalah pilihan raya kecil bukan pilihan raya untuk pilih kerajaan negeri atau kerajaan pusat maka pengundi tidak sewajarnya mensia-siakan undinya.

“Kalau tidak pilih wakil rakyat yang tak berkesan (maka) empat tahun dia duduk relaks (santai) lah…(wakil rakyat) Tak payah balik, tak payah tengok pengundi,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout di Taman Jeram Mulia, Muar, hari ini.

Bagaimanapun, beliau percaya pengundi di Simpang Jeram termasuk Parlimen Pulai memahami dan bersama-sama Pakatan Harapan (PH) yang tidak terhad kepada satu kaum sahaja malah parti yang merangkumi semua kaum termasuk Sabah dan Sarawak.

“Ini juga adalah lebih baik untuk negara. Untuk masa depan negara kita sebagai sebuah negara yang berbilang kaum kerana banyak manfaat yang boleh diterokai oleh masyarakat dan negara.

“Kita perlu ambil manfaat daripada kepelbagaian itu untuk membawa lebih kemajuan untuk negara dan inilah saya percaya antara perkara yang dipikirkan oleh pengundi,” ujar beliau.

(Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) ketika
program walkabout di Taman Jeram Mulia di Muar)

Khaled yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno berkata akar umbi Umno perlu menerima hakikat bahawa tiada calon Barisan Nasional diletakkan di kedua-dua kawasan itu.

Oleh itu, katanya jentera parti kini berusaha memberi penerangan kepada akar umbi Umno untuk memberikan sokongan kepada calon wakil kerajaan perpaduan.

"Maka dengan demikian mereka perlu fikirkan ke mana hala tuju undi mereka.

“Mereka yang inilah yang kita sedang uruskan sekarang dengan memberi kefahaman kepada mereka agar mereka tidak keliru (dalam membuat pilihan) nanti.

“Kita takut ada yang pergi (mengundi) pada hari mengundi nanti tercari-cari (mana calon BN, tapi) tak ada lambang BN untuk diundi.

"Dalam keadaan sedemikian jentera BN sama ada di Simpang Jeram ataupun di Pulai memang berusaha untuk mendekati serta mengesan semua pengundi-pengundi tegar Umno-BN untuk terangkan kepada mereka mengenai hakikat ini dan maklumkan kepada mereka supaya memberikan undi kepada parti yang menerima Umno dan BN,” jelasnya.

PRK Johor bagi Parlimen Pulai dan Dewan Negeri Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandang kedua-dua kerusi berkenaan, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

SPR menetapkan 9 September ini bagi hari mengundi di kedua-dua kawasan itu.

Media Baharu