(Serangan Rusia terus menghujani pekan dan bandar Ukraine/ AFP)
KIEV, 31 Julai- Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, semalam mengarahkan orang awam berpindah dari Donetsk selepas wilayah itu berdepan pertempuran sengit dengan tentera Rusia.
Gesaan itu dibuat ketika Kiev meminta Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendapatkan akses kepada tenteranya yang ditahan oleh pasukan tentera Rusia.
Wilayah timur Donetsk kini menghadapi asakan terbesar Rusia sejak pencerobohannya ke atas Kiev gagal beberapa minggu lalu, sejak serangan dilancarkan bermula pada 24 Februari lalu.
Zelensky memberi amaran melalui ucapan hariannya bahawa ribuan orang, terutama wanita dan kanak-kanak, yang masih berada di medan pertempuran di rantau itu perlu diselamatkan segera.
Katanya, menurut maklumat daripada gabenor Donetsk, enam orang awam terbunuh dan 15 cedera, dalam serangan terbaru Jumaat lalu.
"Kerajaan sudah membuat keputusan berhubung pemindahan wajib dari Donetsk kerana keadaan di sana tidak selamat lagi.
"Sila berpindah dan kami akan bantu, pada peringkat sekarang, keganasan adalah senjata utama Rusia," katanya menekankan gesaan pihak berkuasa untuk meninggalkan wilayah yang dikepung itu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
(Anggota bomba memadamkan kebakaran pasar di Bakhmut, wilayah Donetsk, di tengah-tengah pencerobohan
Rusia ke atas Ukraine/ AFP)
Dalam ucapannya, Zelensky, sekali lagi mendesak masyarakat antarabangsa, terutama Amerika Syarikat (AS), supaya mengisytiharkan Rusia secara rasmi sebagai negara penaja keganasan.
Beliau mengulangi desakan itu sehari selepas penjara yang menahan tawanan perang Ukraine di Olenivka yang dikuasai Kremlin dibom, menyebabkan ramai mangsa terkorban, dengan Kiev dan Moscow saling menuding jari menyalahkan satu sama lain.
Semalam, pemimpin hak asasi manusia Ukraine, Dmytro Lubinets, melalui siaran televisyen, meminta ICRC dan Misi Pemantauan Hak Asasi Manusia PBB supaya terbang ke Olenivka.
Katanya, ICRC bagaimanapun sudah membuat permohonan itu tetapi belum mendapat kebenaran daripada Rusia.
Kementerian Pertahanan Rusia menuduh Kiev menyerang penjara Olenivka dengan peluru berpandu jarak jauh yang dibekalkan AS, sebagai strategi 'provokasi mengerikan', direka untuk menghentikan tentera yang ditangkap daripada menyerah kalah.
Katanya, mangsa yang maut termasuk tentera Ukraine yang menyerah kalah selepas berminggu-minggu menentang pengeboman kejam Rusia ke atas kilang keluli Azovstal yang luas di bandar pelabuhan Mariupol.
Menurutnya, sekurang-kurangnya 50 banduan Ukraine terbunuh dan 73 dibawa ke hospital akibat kecederaan serius. - AFP