BRAZIL, 21 November - Presiden China, Xi Jinping mendesak agar gencatan senjata segera di Gaza susulan pembunuhan keji secara beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel.
Menurut laporan agensi berita Xinhua yang dipetik AFP, Xi berkata demikian semasa lawatan beliau ke ibu negara Brazil selepas pertemuannya dengan Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
Xi menyuarakan kebimbangannya terhadap konflik yang semakin memuncak di Gaza dan menegaskan peperangan perlu dihentikan secepat mungkin.
Gesaan Xi seiring dengan pendiriannya bersama pemimpin G20 yang lain ketika sidang kemuncak di Rio pada Isnin dan Selasa lepas.
Menerusi kenyataan bersama sidang kemuncak tersebut, mereka meminta gencatan senjata "menyeluruh" di Gaza dan juga Lubnan.
Pada hari yang sama, Majlis Keselamatan PBB mengundi satu resolusi untuk menyeru gencatan senjata "segera, tanpa syarat, dan kekal" di Gaza.
Namun, Amerika Syarikat, yang merupakan sekutu Israel, telah menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi yang dicadangkan di Majlis Keselamatan PBB.
Mereka memberikan alasan kononnya resolusi itu tidak mempunyai kaitan dengan usaha membebaskan tebusan yang ditahan.